Tuesday, October 13, 2009

MENGISLAMKAN POLITIK ATAU MEMPOLITIKKAN ISLAM?

fikir

::Oleh: Ustaz Phahrol Md Juoi::

Saya benar-benar resah dengan perkembangan politik Melayu sekarang. Apa yang sedang berlaku? Di mana letaknya keyakinan, keimanan dan adab-susila kita dalam berpolitik. Wajah politik Melayu sangat hodoh! Saya berdoa agar muncul lebih ramai ahli politik yang benar-benar mampu membawa kita ke arah yang lebih jernih dan bersih.

Saya bukan ahli politik, tetapi sangat prihatin dan meneliti perkembangan ini dengan doa dan harapan – mudah-mudahan akan ada cahaya yang bersinar di celah kegelapan dan kecelaruan politik Melayu. Ya, Allah bantulah saudara seIslamku…

Berikut saya sertakan sedutan daripada buku saya Dilema Melayu-Islam: Kurang Fikir atau kurang Zikir, yang menyentuh persoalan ini secara langsung atau tidak.
Faktor Islam kian relevan dalam senario politik semasa. Kalau dahulu Islam seolah-olah menjadi ‘taboo’ dalam arena politik tanah air, tetapi kini suasana itu telah berubah. Kini sudah semakin ramai ahli politik Melayu yang ingin me¬nunjukkan bahawa mereka benar-benar serius dengan Islam. Malah tidak keterlaluan jika dikatkan, Islam sudah menjadi semacam satu ‘aset’ dalam persaingan politik semasa. Masing-masing ingin menunjukkan bahawa merekalah yang sebenarnya lebih komited dengan Islam. Apakah perkembangan ini merupakan pengaruh langsung ‘dari bawah’ Yakni ekoran meningkatnya kesedaran Islam di kalangan rakyat? Atau ini merupakan perubahan hasil arus ‘dari atas’ yakni kecenderungan yang semakin meningkat di kalangan kepemimpinan yang semakin condong kepada Islam? Ini satu persoalan menarik untuk diungkaikan.
Namun, walau apapun sebabnya, kita lebih tertarik untuk melihat kesannya. Jika benar faktor Islam mula diterima dalam agenda politik semasa, sepatutnya ia akan lebih mem¬bersih¬kan dunia politik yang selalu disifatkan sebagai ‘a dirty game’ itu. Ini sesuai dengan sifat Islam sebagai agama yang suci dan mampu menyucikan seluruh aktiviti manusia yang menganutnya. Jika apa yang diperjuangkan oleh parti politik (tidak kira pihak kerajaan atau pembangkang) benar-benar Islamik, langkah itu tentunya akan menghasilkan sesuatu yang lebih positif. Islam sudah sewajarnya mem¬punyai kemampuan untuk membersihkan dunia politik dan ahli politik. Anehnya, perkara ini tidak berlaku. Sebaliknya politik kelihatan menjadi lebih kotor apabila elemen Islam dimasukkan dalam per¬saingan parti-parti politik. Justeru, kini telah timbul satu per¬soalan apakah politik telah di’Islam’kan atau Islam yang telah dipolitikkan?Agenda Islam dalam agenda politik semasa sepatutnya akan lebih membersihkan dunia politik yang selalu disifatkan sebagai ‘a dirty game’. Ini selaras dengan sifat Islam sebagai agama yang suci dan menyucikan. Jika apa yang diperjuangkan oleh parti politik (tidak kira pihak kerajaan atau pembangkang) benar-benar Islam, langkah itu tentunya akan menghasilkan keadaan yang lebih positif. Islam sudah sewajarnya mempunyai membersihkan dunia politik dan ahli politik. Anehnya, perkara ini tidak berlaku. Malah politik kelihatan menjadi lebih kotor apabila elemen ‘Islam’ dimasukkan dalam persaingan parti-parti politik. Justeru, kini telah timbul satu persoalan apakah politik telah di’Islam’kan atau Islam yang telah dipolitikkan?

Satu isu yang sangat berkait rapat dengan persoalan ini ialah kaitan antara institusi mesjid dengan politik. Ada pihak, beranggapan bahawa institusi mesjid seharusnya bebas dari sebarang kegiatan politik. Menurut mereka, para imam dan khatib tidak sewajarnya menggunakan khutbah dan kuliah agama sebagai platform politik. Agama dan politik mesti dipisahkan. Tanggapan ini ada benarnya jika politik dilihat dalam realiti semasa. Umum kini melihat politik bukan lagi dari aspek ilmu dan falsafahnya, tetapi lebih diwarnai oleh perilaku parti dan gelagat ahli politik. Kebanyakan kita melihat politik sebagai satu gelanggang perebutan kuasa, penggunaan wang, pertelagahan diantara ahli-ahli parti, pembelotan dan tipu muslihat.

Menjelang pemilihan pemimpin dalam sesebuah parti mahupun persaingan antara parti dalam musim pilihanraya, kita akan melihat bagaimana kaedah-kaedah yang tidak bermoral akan digunakan untuk mencapai kemenangan. Kata mengata, cerca mencerca misalnya, sudah menjadi suatu yang lumrah dan hampir diterima sebagai satu budaya politik semasa. Jika inilah wajah politik yang ada, maka wajarlah mesjid diselamatkan dari ‘kekotoran’ itu. Politik yang semacam ini bukan sahaja tidak layak dibawa masuk ke dalam mesjid, malah di luar mesjid pun tidak layak diamalkan!

Manakala ada pihak yang lain pula, beranggapan bahawa politik dan agama tidak boleh dipisahkan. Oleh kerana politik adalah satu cabang dari ajaran Islam maka para khatib, imam dan bilal berhak menyentuh isu-isu politik kerana ia memang satu persoalan dalam kehidupan. Bukankah Islam adalah satu cara hidup, hujah mereka. Oleh itu tidak salah jika mesjid dijadikan platform untuk menyentuh soal-soal yang ada kaitannya dengan politik.

Tanggapan ini juga ada benarnya, dengan syarat politik dilihat dari segi erti, falsafah dan peranannya yang sebenar. Istilah politic bermakna, ‘the arts and sciene of government’. Atau ’siasah’ dalam bahasa Arab berasal daripada kata dasar yang bermakna, ‘to lead, to guide, to conduct, to direct’. Jika politik dilihat menerusi dimensi ini, mesjid bukan sahaja boleh dijadikan tempat berpolitik bahkan mesti dijadikan pusat kegiatan politik.

Dalam konteks ini politik dilihat sebagai satu urusan kepimpinan yang hakikatnya adalah amanah Allah kepada manusia. Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud, setiap kita adalah gembala (pemimpin) dan setiap pemimpin akan ditanya tentang kepimpinannya. Urusan ini sangat penting dalam ajaran Islam justeru kepimpinan (politik) adalah satu alat untuk menegakkan ubudiyah kepada Allah swt. Lantaran itu politik menjadi sesuatu yang bersih kerana ditunjangi oleh akidah yang mantap, dipantau oleh syariat dan dihiasi oleh akhlak.

Sejajar dengan ini, Rasulullah dan para sahabatnya telah menjadikan mesjid sebagai tempat perbincangan dan mesyuarat untuk memimpin dan mentadbir manusia. Dari mimbar mesjidnyalah Rasululah saw menjelaskan tanggung-jawab pemimpin, peranan rakyat jelata, prinsip keadilan, susunan masyarakat, pembangunan ekonomi, pendidikan dan lain-lain urusan kepimpinan.

Sayidina Abu Bakar As Siddiq, Umar Al Khattab, Uthman ibn Affan, Ali bin Abi Talib dan Umar ibn Aziz telah membuat ucapan pertama selepas perlantikan mereka sebagai khalifah di mimbar-mimbar mesjid. Ucapan mereka penuh rasa takut dan gentar kepada Allah atas jawatan yang telah diamanahkan oleh rakyat kepada mereka. “Aku bukanlah manusia yang terbaik untuk urusan ini,” kata Sayidina Abu Bakar. “Jika Umar tersalah, maka betulkanlah dia,” kata Umar Ibn Khattab. Inilah petikan kata dari para pemimpin apabila politik telah di’Islam’kan.

Pada ketika ini politik lebih berpusatkan kepentingan rakyat (people-centered) bukan berpusatkan diri pemimpin (politican-centered). Kepimpinan bukan matlamat tetapi alat untuk melaksanakan tanggung-jawab. Jawatan tidak dilihat sebagai satu anugera malah dilihat sebagai satu amanah. Lantas ia sesuatu yang mesti dielakkan, sekiranya boleh berbuat demikian seperti doa Umar Ibn Aziz, “ya, Allah jauhkan jawatan khalifah daripadaku seperti dijauhkan Timur dari Barat.” Tetapi jika terlantik juga ia mesti dipikul dengan penuh rasa takut, cemas dan bimbang kepada Allah. Inilah warna indah apabila politik berjaya ‘diIslamkan’.

Sebaliknya, jika Islam pula yang ‘dipolitikkan’, kepimpinan akan berserabut dengan cita-cita peribadi dan kepentingan puak. Ahli politik bukan sahaja terpaksa bergelut dengan lawan mereka dari parti lain malah dengan anggota separti. Realiti ini boleh dilihat samada dalam kempen pilihanraya umum ataupun kempen pemilihan pucuk pimpinan parti. Kempen pilihanraya yang sepatutnya menjadi saluran untuk meyakinkan pengundi tentang dasar parti, kemampuan calon dan perubahan yang ingin dibuat telah bertukar menjadi medan caci-maki, hasut-menghasut, ejek-mengejek diantara parti-parti tersebut.

Manakala dalam kempen pemilihan pula, budaya politik wang, surat layang, buku fitnah dan bermacam-macam gejala negatif telah pun berlaku. Rakyat yang sepatutnya diberi peluang untuk membuat penilaian tentang kreadibiliti calon, rekod pencapaian parti, manifesto perjuangan telah terheret dalam kancah permusuhan yang begitu serius. Lebih malang lagi bila permusuhan itu berlarutan walaupun musim pilihanraya atau tempoh pemilihan telah berlalu. Pendekata, saluran penerangan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat menerusi kempen pilihanraya telah bertukar menjadi saluran pergeseran yang merbahaya.

Prinsip Machiavelli tidak seharusnya dibiarkan mendominasi senario politik Tanah Air. Islam tidak boleh terus menjadi semacam ‘bahan komoditi’ yang menjadi alat politik semata-mata. Kita tidak boleh melanggar nilai-nilai Islam dengan alasan untuk menegakkan Islam. ‘Orang politik’ tidak sewajarnya lagi dilihat hanya sebagai individu aktif dalam sebuah parti yang merayu rakyat menyokong partinya agar dia sendiri mempunyai tempat dan kedudukan dalam parti tersebut. Sebaliknya, dia wajar dilihat sebagai individu yang dapat membawa diri, rakyat dan negaranya menerusi bidang politik untuk mencapai kebaikan dunia dan akhirat.

Pada saya jika politik difahami dalam ertikata yang luas, ia sebenarnya bukanlah merupakan tanggung-jawab parti-parti politik dan orang politik sahaja. Isu politik dan isu kepartian walaupun berkait rapat tetapi ia tetap dua perkara yang berbeza. Usaha untuk menegakkan kebaikan, kebajikan, keadilan, kasih-sayang, keamanan dan kemakmuran yang merupakan tujuan-tujuan penting dalam politik, adalah tugas semua anggota masyarakat.

Ia adalah urusan politik dan bukan urusan parti politik. Tugas ini tidak terhad kepada orang politik dan parti politik sahaja tetapi ia adalah tugas para imam, bilal, korporat, teknokrat, buruh, nelayan malah sesiapa sahaja. Tugas ini pula mesti dilaksanakan di seluruh tempat samada di mesjid, parlimen, kilang, pejabat, pusat pengajian atau di mana sahaja. Kita semua harus matang dalam berpolitik, yakni mampu membezakan antara urusan politik yang lebih umum dengan urusan politik kepartian yang lebih khusus.

Yang penting dalam apa jua keadaan, samada dalam urusan politik umum atau politik kepartian, kita hendak terikat dengan ajaran Islam Islam. Politik adalah alat, manakala Islam itu adalah matlamat. Oleh itu apa jua persolan dalam politik mestilah ditujukkan dan tunduk kepada akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Mana-mana pihak (samada individu atau kumpulan) yang berjaya mempertahankan prinsip ini tetap dianggap menang sekalipun kalah dalam pilihanraya.

Sebaliknya, parti yang gagal mempertahankan prinsip ini tetap dianggap kalah sekalipun memenangi dalam pilihanraya. Islam menolak prinsip ‘matlamat menghalalkan cara’. Kalah dan menang pilihanraya memanglah satu faktor yang kritikal dalam politik kepartian tetapi ia bukanlah faktor penting dalam urusan politik yang lebih umum. Bakti, pengorbanan dan kerja keras masih boleh dicurahkan kepada rakyat dan negara tanpa terikat oleh blok kepartian atau musim pilihanraya.

Adalah menjadi harapan kita agar semua pihak memahami benar akan hakikat politik ini. Jika ini berjaya dicapai, urusan politik akan dapat dilaksanakan dalam suasana yang lebih aman, harmoni dan kasih-sayang. Walaupun dalam arus politik perdana persaingan dan pertandingan tidak dapat dielakkan, tetapi persaingan dan pertandingan itu boleh dilaksanakan secara sihat dan bersih. Apabila persaingan kepartian tamat, semua pihak akan kembali merapatkan barisan untuk meneruskan urusan politik umum. Majoriti 2/3 dan minoriti 1/3 akan bertaut semula menjadi satu (3/3) semula. Titik perbezaan tetap ada, namun titik persamaan masih banyak dan boleh dilaksanakan bersama-sama. Biarlah hanya ahli parti politik sahaja yang terus ‘berpolitik’ tetapi rakyat mesti kembali bersatu tanpa mengira perbezaan agama, budaya dan bangsa.

Inilah yang telah berlaku semasa pemerintahan Khalifah Uthman ra dan Khlaifah Ali. Walaupun keadaan politik di pusat pemerintahan mereka bergolak, namun dakwah, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, ilmu dan empayar Islam terus berkembang ke seluruh dunia. Sesungguhnya, persaingan dalam arus ‘politik yang diIslamkan’, tidak akan menghalang perkembangan Islam sekalipun terjadi perselisihan. Justeru, persaingan kerana berbeza pandangan atas matlamat yang sama – (the same difference) adalah suatu yang akan memberi manfaat kepada ummah. Sebaliknya persaingan dalam arus ‘Islam yang dipolitikkan’ akan memudaratkan ummah justeru perbezaan itu adalah disebabkan oleh matlamat yang telah berbeza. Renungilah hakikat ini. Mungkin renungan itu nanti boleh mendinginkan sedikit suasana politik yang kian membahang ini…

Akhirnya itu, soal mesjid boleh atau tidak dijadikan tempat berpolitik sebenarnya bergantung kepada bagaimana politik itu ditakrif, ditafsir dan dipraktikkan. Jika politik ditakrifkan dan dilaksanakan dengan tepat mengikut Islam, maka mesjidlah tempat yang paling sesuai untuk berpolitik. Sebaliknya jika takrifnya tersasar atau dilaksanakan dengan cara yang salah, maka sewajarnyalah mesjid ‘diselamatkan’ dari sebarang aktiviti politik. Bagaimana dengan politik sekarang? Terpulang kepada anda untuk memutuskannya. Tetapi pada saya… satu kematangan baru dalam berpolitik sangat perlu dikalangan orang-orang Melayu!

0 comments:

Post a Comment

 
Fitrah Perkasa. Design by info@fitrahperkasa.net. Converted To Fitrah Perkasa By Faisal Tested by info@fitrahperkasa.net.